‘Tiada keperluan ubah peraturan’

227
YUSOFF MAHADI

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak melihat insiden membabitkan pengadil yang berlaku dalam aksi Perak menentang Kedah di Stadium Perak sebagai isu besar.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kontroversi membabitkan pemilihan pegawai keempat dari negeri yang sama dengan pasukan tuan rumah bukan sesuatu yang baharu dalam saingan Liga Malaysia, sebaliknya ia sudah dipraktikkan sejak tahun 1980-an lagi.

Justeru, beliau melihat tiada keperluan untuk mengubah peraturan yang telah diguna pakai sejak sekian lama itu.

“Ini hanya kes terpencil. Kami di FAM memang agak dukacita dengan apa yang berlaku tetapi ia bukan sesuatu yang kita boleh jangka.

“Isu berkaitan pengadil keempat ini tidak perlu diperbesarkan dan pada saya tidak timbul isu sehingga memerlukan kita ubah peraturan yang sudah lama dipraktikkan ini.

“Tetapi kalau jika ia perlukan apa-apa perubahan kemudian, mungkin kita akan pertimbangkan, sebab seperti yang kita tahu, kita dalam usaha untuk menubuhkan badan bebas pengadil. Jadi mungkin perkara ini akan diambil kira kemudian.

“Cuma buat masa sekarang, kita akan kekal dengan apa yang ada,” katanya ketika ditemui pada majlis undian pusingan kelayakan Piala FA 2019.

Kelmarin, timbul isu dalam aksi Liga Super antara Perak dan Kedah selepas pengadil perlawanan, Hamdan Awang mengalami hamstring.

Tugas Hamdan yang sepatutnya digantikan dengan pegawai keempat perlawanan bagaimanapun dibantah pasukan Kedah kerana mendakwa pegawai tersebut berasal dari Perak.

Untuk rekod, kali terakhir pengadil perlawanan terpaksa ditukar ialah pada 1990 membabitkan perlawanan di antara Johor menentang Sarawak di Larkin.

Komen anda