Tiada ‘U-turn’, KFA tetap terus bawa kes Akhyar ke muka pengadilan!

2327
FOTO: KFA
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap kes melibatkan bekas pemainnya, Muhamad Akhyar Rashid masih diteruskan.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, proses timbang tara terhadap penyerang kebangsaan itu telah dimulakan sejak 18 Januari lalu dan akan diteruskan ekoran pelbagai saluran lain yang digunakan sebelum ini tidak menunjukkan sebarang jalan penyelesaian.

Namun jelasnya, pihak KFA tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut memandangkan ianya masih berjalan.

“Proses timbang tara terhadap Akhyar telah dimulakan sejak 18 Januari 2019. Kami difahamkan oleh peguam kami bahawa pihak Akhyar juga telah melantik peguam untuk mewakilinya. Dan pada ketika ini, seperti kes-kes di mahkamah, isu-isu pengurusan kes masih dijalankan.

“Pihak KFA tidak berupaya untuk memberi sebarang maklumat yang lebih berhubung dengan kes timbang tara tersebut yang masih sedang berjalan kerana proses timbang tara tersebut hanyalah terbuka untuk pihak-pihak yang terlibat setakat ini.

“Saya percaya kesemua pihak harus menghormati prosedur yang telah ditetapkan dan tidak membuat andaian atau membuat tanggapan yang tidak berasas tentang hala tuju kes ini. Kami berharap kesemua pihak akan bersabar dan nantikan keputusan proses timbang tara tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Asmirul menjelaskan, pihaknya terpaksa melalui proses timbang tara di peringkat domestik terlebih dahulu sebelum membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi selepas meneliti kesemua undang-undang dan peraturan-peraturan yang terpakai dalam bola sepak antarabangsa.

Namun, isu yang timbul buat masa ini ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum lagi mewujudkan tribunal timbang tara untuk menangani rayuan daripada Jawatankuasa Rayuan (peringkat domestik).

“Tribunal tersebut masih belum diwujudkan dan ini telah disahkan oleh pihak FAM sendiri melalui peguamnya. Peguam FAM telah mengesahkan bahawa badan yang paling sesuai di mana proses timbang tara boleh dilakukan adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang berada di Kuala Lumpur.

“Akan tetapi setelah mendapat khidmat dan nasihat peguam yang lebih komprehensif, menyeluruh dan mendalam, kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbang tara domestik dahulu.

“KFA adalah ahli kepada FAM, FAM adalah ahli kepada AFC dan FIFA. Kami menerima prosedur yang wajib terpakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul. Apa yang penting adalah pihak KFA masih lagi meneruskan proses untuk menegakkan kebenaran melalui proses timbang tara yang sedang dijalankan. Pihak KFA akan sentiasa profesional demi kemajuan dan perkembangan sukan bolasepak di tanah air,” katanya.

Komen anda