‘Tiga mata lebih penting’ – Nafuzi

125
Barisan pemain TFC meraikan kejayaan meraih tiga mata dengan menewaskan Selangor.(Foto : footballclubterengganu)

PEMANGKU Ketua Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mahammad Zain menyifatkan jumlah jaringan dan kaedah kemenangan yang diperolehi bukan penting kerana ia tetap menghadirkan tiga mata penuh buat pasukan selepas menang tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Baginya, sama ada menang tipis atau dengan jaringan yang banyak bukanlah persoalan tetapi meraih tiga mata apabila perlawanan tamat perlu menjadi keutamaan.

"Menang tipis atau jumlah jaringan besar contohnya 5-0 dan gol sendiri bukan penting tetapi sebaliknya tiga mata yang diraih.

"Pemain membuktikan keazaman dan mereka berhak memperolehi kemenangan," jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, gol sendiri ketua pasukan Selangor, K Sarkunan yang tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang pemain gantian tuan rumah, Adib Aizuddin Ab Latif pada minit ke-90 memastikan tiga mata penuh buat skuad Penyu selepas kedua-dua pasukan buntu mengegar gawang sebelum itu.

Mengulas punca utama kemenangan anak didiknya, Mohd Nafuzi berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil usaha keras semua pemain bermula wisel perlawanan ditiupkan pengadil.

"Kemenangan ini usaha kesemua pemain yang menunjukkan kesungguhan , keazaman dan keyakinan untuk meraih kemenangan, peranan saya hanya 10 peratus sahaja selebihnya mereka yang bermain di atas padang.

"Sudah pasti saya gembira dengan kemenangan ini, selepas meraih satu mata menentang Felda United ketika kali pertama saya menggalas tanggungjawab ini sudah ada peningkatan corak permainan.

"Untuk mendapatkan rentak dan perubahan secara keseluruhan, kita memerlukan masa selain memperbaiki beberapa kelemahan dalam pasukan," tegasnya.

Komen anda