Tiga tonggak senior perkuat PKNS

331
Shahrul Kalam (kiri), R Surendran dan Mahali Jasuli memperkuatkan barisan pemain tempatan PKNS FC musim depan.

PASUKAN PKNS FC melengkapkan barisan pemain tempatan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan dengan mendapatkan khidmat tiga pemain berpengalaman yang dibarisi Mahali Jasuli, Shahrom Kalam dan R Surenderen.

Menerusi laman rasmi skuad Semut Merah itu, PKNS FC telah menandatangani ketiga-tiga pemain terbabit musim 2019 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, sebentar tadi.

Terdahulu, Mahalli yang juga pemain PKNS FC musim ini telah bersetuju untuk menyambung kontrak semusim lagi dengan skuad The Red Ants setelah beberapa siri rundingan dengan pihak pengurusan mencapai kata sepakat.

Manakala di sebelah petangnya pula bekas kapten pasukan Felcra United, Shahrom Kalam dan bekas pemain Melaka United, R Surendren turut menyertai pasukan The Red Ants juga dengan kontrak semusim.

Sementara itu, pengendalinya, Datuk K Rajagobal menyifatkan kehadiran ketiga-tiga pemain senior itu bukan sahaja mampu memperkuatkan lagi pasukan bahkan berperanan membimbing pemain muda sepanjang mengharungi kempen Liga M musim depan.

“Kalau kita lihat pemain PKNS FC musim 2019 dibarisi pemain muda. Oleh itu kehadiran mereka ini memang diperlukan atas dasar pengalaman luas mereka untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada pemain muda selain boleh memberi impak kepada pasukan.

“Buat masa ini saya rasakan kita sudah cukup untuk melengkapkan kuota pemain tempatan dan jika perlu penambahan, saya saya akan mempertimbangkan pemain pelapis dari skuad Piala Presiden atau Piala Belia PKNS FC,” katanya.

Komen anda