Tok Gajah buktikan reputasi

339

MERAIH mata penuh dari dua perlawanan, Pahang membuktikan reputasinya selaku pasukan pilihan meraih kejuaraan Liga Super dari gengaman Johor Darul Ta'zim (JDT) yang telah merangkul kejuaraan kali kelima berturut-turut sejak 2014.

Kehadiran semula Dickson Nwakaeme dan import baharu Jose Eduardo atau Ze Love serta pertahanan kental, Goulon Herold Mark selain Saddil Ramdani dan kombinasi pemain tempatan sedia ada pastinya dianggap tonik bermakna buat skuad bimbingan Dollah Salleh ini.

Namun bagi Dollah,Pahang tidak hanya bergantung kepada Dickson, namun kehadiran pemain import itu menjadikan rakan pasukannya lebih berkeyakinan terutama di jentera serangan.

"Pahang nampak lebih mantap berbanding tahun lepas yang mana kita bukan tidak mantap tetapi ada pemain utama mengalami kecederaan seperti Forkey Doe dan Patrick Cruz.

"Ia menyebabkan impak bahagian depan agak kurang sedikit, namun kehadiran Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo pada musim ini membolehkan Pahang tampil lebih kuat," jelasnya.

Pada perlawanan tersebut, Nwakaeme atau lebih mesra dengan gelaran Orang Besi meledak gol pertama pada minit 13 sebelum pertahanan Tok Gajah, Goulon Herold Mark menggandakan kelebihan melalui tandukan berpunca sepakan penjuru pada minit ke 51.

Orang Besi membuktikan reputasinya selaku pemain berbahaya terutama didalam kotak penalti lawan apabila bijak memperdayakan beberapa pertahanan Terengganu sebelum melorongkan kepada Norshahrul Idlan Talaha untuk menolak mudah masuk gol ketiga pada minit ke 91.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Dollah berkata barisan pemainnya bermain agak baik walaupun kurang berkualiti jika dibanding aksi terdahulu ketika bertemu Kuala Lumpur.

"Permainan kita longgar pada separuh masa kedua, terutamanya antara minit ke-65 hingga ke-70 sebelum kembali bangkit, bahagian tengah hilang tumpuan dan gagal melakukan hantaran kepada Dickson dan Eduardo.

"Pujian harus diberikan kepada penjaga gol kami, Remezey Che Ros kerana berjaya menjaga gawang dengan baik walaupun diturunkan bagi menggantikan Helmi Heliza yang cedera pada saat akhir," katanya.

Komen anda