Tok Gajah lebih kuat musim ini

226

Dua aksi awal mengutip enam mata membuktikan Pahang lebih mantap dan menepati jangkaan ramai bakal menjadi pencabar utama pada saingan Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh berkata, beliau berharap skuad bimbingannya itu dapat mengekalkan momentum kecemerlangan dan terus konsisten sepanjang musim dalam memburu gelaran yang disasarkan.

“Pahang nampak lebih mantap berbanding tahun lepas yang mana kita bukan tidak mantap tetapi ada pemain utama mengalami kecederaan seperti Forkey Doe dan Patrick Cruz.

“Ia menyebabkan impak bahagian depan agak kurang sedikit…namun kehadiran Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo pada musim ini membolehkan Pahang tampil lebih kuat,” katanya.

Dollah berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan antara Pahang dan Terengganu yang menyaksikan skuad Tok Gajah menang bergaya 3-0 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Gol Pahang diperoleh menerusi Dickson pada minit ke-13, Goulon Herold Mark (’51) dan Norshahrul Idlan Talaha (’91).

Beliau menambah Pahang tidak hanya bergantung kepada Dickson, namun kehadiran pemain import itu menjadikan rakan pasukannya lebih berkeyakinan terutama di jentera serangan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Dollah berkata barisan pemainnya bermain agak baik walaupun kurang berkualiti jika dibanding aksi terdahulu ketika bertemu Kuala Lumpur.

“Permainan kita longgar pada separuh masa kedua, terutamanya antara minit ke-65 hingga ke-70 sebelum kembali bangkit…bahagian tengah hilang tumpuan dan gagal melakukan hantaran kepada Dickson dan Eduardo.

“Pujian harus diberikan kepada penjaga gol kami, Remezey Che Ros kerana berjaya menjaga gawang dengan baik walaupun diturunkan bagi menggantikan Helmi Heliza yang cedera pada saat akhir,” katanya.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau akur dengan kekalahan anak buahnya kepada pasukan yang kuat di tempat lawan.

“Separuh masa pertama kita bermain terlalu bertahan sehingga dihalang pasukan lawan untuk maju ke depan.

“Saya mengubahnya pada separuh masa kedua yang membuka lebih banyak peluang, tetapi gol kedua pasukan lawan meranapkan moral kita,” katanya.

Irfan Bakti menambah masih terlalu awal bagi pasukannya untuk menyerah dan mereka perlu bangkit apabila berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan ketiga di halaman sendiri nanti. – Bernama

Komen anda