Tokyo pentas ujian Malaysian Tigers selepas jelajah Eropah

137
Skuad Malaysian Tigers sekembalinya ke tanah air selepas melengkapkan sembilan perlawanan di Siri Jelajah Eropah.

Foto: FB Malaysian Hockey Confederation

MALAYSIAN Tigers akan berlepas ke Tokyo esok bagi menghadapi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 The Ready Steady Tokyo Hockey Test Event pada 17 hingga 21 Ogos di Stadium Hoki Oi, Tokyo, Jepun.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam satu kenyataan hari ini berkata skuad yang baharu sahaja melengkapkan sembilan perlawanan di Siri Jelajah Eropah itu akan berlepas ke Tokyo tengah hari esok.

“Selain Malaysia, acara tersebut turut disertai pasukan yang berada di ranking kelima dunia India, New Zealand (ranking kelapan dunia) dan tuan rumah, Jepun (ranking ke-16 dunia).

“Kejohanan ujian itu akan menggunakan format ‘round robin’ dan selepas tamat pusingan tersebut, dua pasukan teratas akan mara ke perlawanan akhir sementara dua lagi pasukan akan bersaing bagi kedudukan tempat ketiga dan keempat,” katanya.

Hoki antara 56 perlawanan ujian yang akan berlangsung di sekitar Tokyo sebagai persediaan Jepun memastikan lokasi dan prosedur operasi berada di landasan terbaik sebelum acara utama Sukan Olimpik Tokyo 2020.

SENARAI 18 PEMAIN

Penjaga gol: S.Kumar dan Muhammad Hafizuddin Othman

Pertahanan: Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faiz Helmi Jali, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran

Tengah: Muhammad Marhan Mohd Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhammad Azuan Hasan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad,

Penyerang, Norshafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

JADUAL

17 Ogos:
India lawan Malaysia (5.30 petang)

18 Ogos:
Malaysia lawan Jepun (5.30 petang)

20 Ogos:
Malaysia lawan New Zealand (8.30 pagi)

21 Ogos:
Penentuan tempat ketiga dan keempat (8.30 pagi) dan penentuan juara (11 pagi).

Komen anda