Tolak tawaran ASUM

541

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah boleh melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat jurulatih baharu dari Poland, Bartlomiej Kizierowski.

Ia disebabkan Kizierowski yang juga pembawa bendera Poland pada Sukan Olimpik 2004 di Athens membuat keputusan untuk menolak tawaran ASUM atas alasan, polisi Malaysia yang melarang atlet Israel memasuki negara ini.

Kizierowski membuat kenyataan itu secara terbuka menerusi laman sosial Facebook peribadinya baru-baru ini.

“Saya ada menerima tawaran menarik untuk menjadi jurulatih renang Malaysia. Antara alasan peribadi saya menolak (tawaran) adalah kerana kenyataan terbaharu dibuat ahli politik Malaysia berhubung tindakan tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara itu bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

“Tiada tempat dalam sukan untuk perkara sebegitu. Saya juga ingin berterima kasih kepada komuniti Malaysia yang menunjukkan kepercayaan dan memberi peluang kepada saya,” katanya.

Sebagai rekod, bekas perenang Poland berusia 41 tahun itu membuat empat kali penampilan di pentas Olimpik bermula edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, netizen Malaysia atau lebih terkenal dengan gelaran ‘tentera bawang’ beralih haluan menyasarkan serangan kepada Kizierowski selepas bertindak menghentam Facebook Paralympic Games kelmarin.

Seperti diduga, kebanyakan mereka bersepakat dengan mengeluarkan komen seperti “Malaysia always Support Palestin, We Malaysian Don’t Care, Proud to be Malaysian! Anyway, Israel is Not A Country, Congratulations Malaysia dan We stand for Palestin’.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen mengesahkan Kizierowski yang menggantikan Paul Birmingham akan tiba di Malaysia selepas Tahun Baharu Cina.

Komen anda