‘Tolong jangan berhenti mencari..’ – Keluarga Sala rayu operasi pencarian diteruskan

1008

KELUARGA Emiliano Sala kecewa dengan tindakan pihak berkuasa menamatkan pencarian penyerang baharu Cardiff City itu selepas gagal memperoleh sebarang petunjuk mengenai insiden tersebut.

Kakak Sala, Romina berkata, masih terlalu awal untuk operasi pencarian itu ditamatkan.

“Saya amat keliru. Perkara yang saya mahukan adalah untuk adik saya dan juruterbangnya ditemui.

“Kami mahu mereka (pihak berkuasa) meletakkan diri mereka di tempat kami. Mereka perlu bayangkan apa yang dirasai kaum keluarga mangsa.

“Tolong jangan berhenti mencari. Saya yakin mereka masih hidup. Mereka sedang menunggu kami,” katanya.

Bapa Sala, Horacio, turut menggesa pihak Polis Guernsey untuk mempertimbangkan kembali keputusan mereka.

“Kami amat berharap untuk operasi pencarian itu diteruskan. Saya tidak percaya mereka menghentikan operasi pencarian itu.

“Saya bermohon kepada mereka untuk operasi itu diteruskan. Tidak mungkin pesawat itu hilang begitu sahaja,” katanya.

Sala sebelum ini dikhuatiri maut apabila pesawat ringan yang dinaikinya didapati hilang dari radar ketika dalam perjalanan ke Cardiff, Isnin lalu.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat itu dihentikan apabila Polis Guernsey mengesahkan pihaknya tidak memperoleh sebarang petunjuk dalam operasi pencarian yang meliputi keluasan 1,700 batu persegi berhampiran Kepulauan Channel itu.

Pihak yang terbabit dengan pencarian itu juga menjangkakan peluang penumpang untuk selamat semakin tipis selepas beberapa hari hilang.

Komen anda