‘Tolonglah manusia berbaju hitam’ – Safee Sali tempelak pengadil?

1613
FOTO: PERAK TBG

PENYERANG PJ City FC, Safee Sali meluahkan kekecewaannya terhadap seorang individu, dipercayai pengadil susulan kekalahan pasukannya di tangan Perak hujung minggu lalu.

Menerusi Instagramnya, Safee seolah-olah menganggap kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan pengadil dalam membuat keputusan pada aksi di Stadium Perak, Ipoh itu.

Di hantaran itu, Safee turut menyertakan rakaman video pengadil perlawanan berkenaan, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan penalti kepada Perak yang dianggap tidak wajar sehingga PJ City dinafikan hak untuk meraih sebarang mata.

“Sukar untuk ‘move on’ kerana saya benci kepada kekalahan. Mungkin kesilapan keputusan seorang bernama manusia di atas padang.

“Tetapi dengan keputusan dia yang tidak munasabah itu menyebabkan musnahnya hasil kerja keras pemain dan jurulatih selama ini.

“Hancur perasaan semua yang terlibat dalam perlawanan itu. Sampaikan semua terlupa apa yang harus dilakukan selepas perlawanan,” katanya.

Safee turut memberikan peringatan kepada ‘manusia berbaju hitam’ agar tidak angkuh dan terus bersikap adil dalam mana-mana perlawanan bola sepak.

“Tolonglah manusia berbaju hitam. Fahamilah kerja keras dan keringat kami sebelum dan semasa perlawanan.

“Jangan sia-siakan semuanya kerana keangkuhan kami. Biarlah bersaing secara sihat dan itu akan memberi manfaat kepada bola sepak kita,” katanya lagi.

Hantaran itu bagaimanapun mendapat reaksi berbeza-beza daripada pengikutnya. Ada yang dilihat bersetuju, dan ada juga yang menganggap kata-kata itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemain profesional sepertinya.

Komen anda