‘Tolonglah Sane jangan pindah’

132

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengulangi hasratnya untuk melihat Leroy Sane kekal di Etihad walaupun Bayern Munich semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain Jerman itu.

Sane muncul dengan aksi cemerlang ketika perlawanan pramusim City berdepan juara Liga Perdana Hong Kong, Kitchee FC dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-1 kelmarin.

“Dia mempamerkan permainan baik terutama pada separuh masa kedua. Saya menghargai bakatnya dan saya sangat menyukainya. Saya yakin dia mampu menjadi pemain lebih baik jika dia kekal bersama City.

“Jika dia berpindah, saya akan menjadi orang paling sedih tetapi saya tidak boleh melakukan apa-apa kerana dia juga belum menandatangani kontrak baharu,” katanya.

Sane masih belum menandatangani kontrak di City biarpun Guardiola berulang kali menegaskan, kelab itu ingin mengekalkan bekas pemain Schalke tersebut dan turut menawarkan perjanjian baharu.

“Itulah (prestasi semasanya) menjadi sebab dia ditawarkan kontrak baharu tetapi keputusan itu bukan di tangan kami. Ia tawaran yang bagus untuk Sane,” jelas Guardiola.

Sane menjaringkan 10 gol dan 11 bantuan gol dalam 31 penampilan bersama City musim lalu. Namun, pemain berusia 23 tahun itu bukan pilihan dalam kesebelasan utama City apabila Guardiola lebih gemar menggunakan Bernardo Silva dan Raheem Sterling.

Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati Sane dan menyebabkan dia mahu berpindah dengan Bayern sedia menawarkan kontrak lumayan kepadanya.

Komen anda