TRACK peluang atlet bina kerjaya selepas bersara

70

Foto; MSN

 

KEMENTERIAN Belia dan Sukan memperkenalkan Projek TRACK, iaitu inisiatif baharu kepada atlet untuk memilih kerjaya alternatif selain bidang sukan.

 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata Majlis Sukan Negara (MSN) sedang merangka garis panduan pelaksanaan projek itu yang dijangka siap bulan ini dengan mengambil kira aspek atlet, kelayakan, serta input dari jurulatih dan pegawai berkaitan jadual waktu atlet terpilih.

 

Katanya sebagai permulaan kumpulan pertama seramai 50 atlet akan dipilih di bawah projek perintis untuk diserap ke dalam syarikat yang terlibat menjelang pertengahan tahun ini.

 

“Ini satu idea yang baharu, maka kita akan buat satu projek perintis dahulu di mana kita menghantar 50 orang atlet ke pasaran kerja.

 

“Kita akan memantau apakah nilai tambah yang diperolehi oleh atlet, majikan dan juga adakah pengalaman bekerja itu akan menjejaskan prestasi atlet sama ada ketika latihan dan ketika menyertai kejohanan.

 

“Kita juga sedang sediakan garis panduan. Ini penting kerana kita hendak memberi peluang kepada atlet tanpa menjejaskan jadual latihan mereka dan tanpa menjejaskan prestasi atlet,” katanya kepada pemberita pada majlis minum petang bersama 39 syarikat yang hadir mendengar penerangan idea Projek TRACK di sini.

 

Projek TRACK itu akan memberi peluang kepada atlet yang sedang berkhidmat untuk menimba pengalaman bekerja yang sesuai untuk diteruskan selepas mereka menamatkan kerjaya bidang sukan.

 

“Kita lihat antara input dan maklum balas daripada atlet ialah – oleh kerana sering memberi tumpuan kepada latihan dan usaha ke atas pencapaian sukan, selepas persaraan ramai atlet menghadapi kesukaran untuk membuat transisi ke dalam alam pekerjaan yang normal,” katanya.

 

Steven berkata 50  atlet terpilih nanti akan menjadi kayu pengukur untuk melihat keberhasilan projek TRACK itu sama ada boleh diteruskan atau tidak pada jangka panjang.

Sementara itu, Steven berkata pada majlis minum petang semalam, syarikat swasta dan GLC yang hadir telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong Projek TRACK itu.

 

Katanya, MSN melalui unit MACE akan menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat yang terlibat untuk memudahkan pegawai memantau atlet di sektor pekerjaan.

 

Justeru, syarikat yang berminat diminta menerokai sebarang kekosongan atau peranan yang sesuai dengan golongan atlet seperti kerja dari rumah, jadual kerja fleksibel atau bekerja secara sambilan.

Komen anda