Tragedi Ramadan: Faizal kini dilaporkan semakin stabil

195
Zainal melawat Faizal di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan semalam. FOTO: MUSA

TONGGAK pertahanan Melaka United, Mohd Faizal Muhamad dilaporkan stabil selepas terbabit kemalangan ngeri di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pagi semalam.

Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menerusi satu kenyataan mengesahkan perkara ini selepas melawat pemain itu di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.

"Mohd Faizal Muhamad yang cedera parah selepas terlibat dengan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pagi semalam (Ahad, 26 Mei 2019) kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

"Pagi semalam (Isnin, 27 Mei 2019) Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan mewakili barisan Jurulatih, Pegawai dan Pemain Pasukan Melaka United menziarahi Faizal di hospital berkenaan bagi memantau keadaan pemain itu.

"Semoga Faizal cekal dengan ujian yang dihadapi dan segera pulih daripada kecederaan yang dialaminya untuk kembali ke pangkuan pasukan bagi mengharungi perlawanan-perlawanan yang akan datang," kata kenyataan itu.

Semalam, Sukan Sinar melaporkan, Faizal, 30 mengalami kecederaan parah di kepala dan muka selepas terbabit kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi Ahad ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Terengganu.

Kemalangan itu berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu Faizal hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV di Kilometer 250.2 LPT dekat Jabor, Kuantan.

Komen anda