Tuanku Zara: Peranan sukan satukan rakyat wajar diiktiraf

85

PERANAN sukan dalam membina negara serta menyatukan rakyat wajar diberi pengiktirafan, diutamakan dan tidak dianggap sekadar kegiatan rekreasi sampingan dan bernilai pinggiran.

 

 

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah sehubungan itu, kemudahan sukan perlu diperbanyakkan dan penglibatan rakyat untuk bersukan amat perlu digalakkan.

 

 

Titah baginda dalam suasana meraikan 62 tahun kemerdekaan negara, kerajaan wajar memberi perhatian lebih utama dan serius untuk menerokai sukan sebagai instrumen penyatuan rakyat pelbagai kaum, budaya, agama serta bahasa dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti terutama melibatkan golongan remaja.

 

 

“Warga muda Malaysia yang diberikan ruang luas melalui pelbagai kegiatan sukan, InsyaAllah akan menjadi warga yang sihat, cergas dan berdisiplin.

 

 

“Mereka akan memiliki kemahiran sosial berkomunikasi yang berupaya membina semangat setia kawan dan berpasukan, berupaya menghargai kelebihan dan kekurangan seseorang insan, menampilkan sifat-sifat bertanggungjawab dan kepimpinan,” titah baginda ketika merasmikan Pusat Akuatik Tuanku Zara di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini.

 

 

Tuanku Zara bertitah sukan juga mempunyai pelbagai peranan termasuk membentuk watak dan keperibadian insan, mendidik seseorang mempunyai kekuatan minda, kekuatan emosi dan fizikal selain menjadikan individu lebih fokus, mempunyai sasaran, memiliki semangat juang, semangat ketahanan serta semangat bersaing.

 

 

“Sukan juga melatih insan untuk bersyukur dan menghargai peranan individu di sebalik sesuatu kejayaan, pada masa yang sama mendidik insan menerima ketewasan secara beradab, tidak merasa kecewa, sebaliknya berazam bangkit semula untuk menerokai kemenangan baharu,” titah baginda.

 

 

Mengenai Pusat Akuatik Tuanku Zara, Raja Permaisuri Perak itu bertitah ia mencatatkan satu sejarah peribadi kerana mengabadikan nama baginda.

 

 

“Lebih nostalgik lagi, sukan air, khususnya sukan renang amat rapat dengan diri Beta. Semasa berada dalam alam sekolah, Beta bergiat aktif di dalam sukan renang, sampai ke peringkat dipilih mewakili negeri Perak,” titah Tuanku Zara.

 

 

Pusat Akuatik Tuanku Zara mempunyai sebuah kolam renang bertaraf antarabangsa, kolam terjun serta kolam memanaskan badan khas untuk atlet dan ia turut digunakan semasa Sukan Malaysia (SUKMA) pada September 2018.

 

 

Selain itu, untuk kegunaan orang awam, sebuah kolam renang bagi dewasa serta dua kolam renang kanak-kanak disediakan dengan kadar bayaran tertentu dan dibuka setiap hari kecuali pada Isnin mulai November 2018.

Komen anda