Tun Siti Hasmah minta rakyat doakan kejayaan Malaysia di final Seluruh England

317
Tun Siti Hasmah bersama pemenang Piala Beregu Lelaki Kejohanan Badminton Piala Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (Hascup 2019) di Dewan Besar Kolej Keris Mas UKM hari ini.

ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali membayangkan hasratnya mahu melihat Malaysia membawa pulang kejuaraan Seluruh England menerusi beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Woo Yik yang akan turun ke pentas final tengah malam ini.

Sambil meminta pasangan itu bermain sebaik mungkin, Dr Siti Hasmah yang merupakan peminat sukan badminton turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan beregu tersebut.

“Sudah lama Malaysia tidak memenangi All England. Dulu ada Datuk Lee Chong Wei, jadi sekarang tanpa Lee takkanlah kita tidak boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan piala pusingan Kejohanan Badminton Piala Tun Dr Siti Hasmah Ali (Hascup) di Kolej Keris Mas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Gandingan Aaron-Wooi Yik yang berkedudukan ke-18 dunia itu mara ke final selepas menundukkan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang beranking ke-9 dunia, dengan 12-21, 22-20 dan 21-19 dalam pertembungan separuh akhir di Arena Birmingham semalam.

Beregu negara akan bertemu pasangan veteran Indonesia yang juga pemenang edisi 2014, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada final.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan Seluruh England bagi kategori itu ialah pada 2007 menerusi pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Mengulas mengenai kejohanan Hascup, Dr Siti Hasmah berkata beliau sentiasa menyokong kejohanan yang dimulakan Kolej Keris Mas UKM pada 2012.

“Saya datang setiap kali dijemput kerana saya peminat badminton yang tertua sekali agaknya,” katanya dalam nada seloroh.

Pada majlis hari ini pasangan regu Muhammad Irwan Zekry Wahyudi dan Cheong Cheng Foong menjuarai kejohanan berkenaan. – Bernama

Komen anda