Tunggakan RM6.4 juta: Ketenatan industri bola sepak negara – PFAM

96

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

PERSATUAN Pemain Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan sebanyak RM6.4 juta tunggakan gaji masih belum dijelaskan oleh beberapa pasukan Liga Malaysia kepada pemain mereka setakat ini.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, situasi itu amat mengecewakan dan angka itu dijangka bertambah memandangkan pihaknya masih menerima aduan mengenai masalah pembayaran gaji tersebut.

 

 

Malah katanya, isu tunggakan gaji tersebut menjadi simbol kepada kegagalan urustadbir yang profesional dalam kalangan pasukan dan menjadi bukti bola sepak negara sedang tenat selain tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri.

 

 

“Dapatan yang dibuat ini adalah berdasarkan aduan rasmi diterima PFAM. Kebanyakkannya sudah pun mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) namun, masih ada lagi yang sedang menunggu tarikh pendengaran kes.

 

 

“Ini tidak termasuk jumlah tunggakan potongan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) , caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

 

“PFAM percaya angka ini sebenarnya lebih besar jika dihitung bersama tunggakan yang turut membelenggu barisan staf kejurulatihan dan juga pemain-pemain import yang menggunakan saluran sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

 

Dalam masa yang sama, Izham turut membidas pasukan yang masih berdiam diri dan belum melunaskan gaji pemain walaupun telah mendapat wang geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali gus membuktikan mereka tidak serius untuk mengatasi masalah ini.

 

 

“Pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung tunggakan gaji ini selepas MFL membuat pengumuman bahawa wang sudah diberikan.

 

 

“Malah, ada juga pasukan yang sudah membuat perjanjian untuk bayar secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC.

 

 

“Selain itu, nasib pemain daripada pasukan yang sudah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela seperti pemain Perlis, TCFC, Hanelang FC, Kuantan FA serta Marcerra United terus berada dalam keadaan yang tidak menentu,” katanya.

 

 

Menurutnya, kegagalan melunaskan tunggakan gaji tersebut sekali gus membawa mesej buruk kepada bola sepak negara dan cerminan moral negatif kepada bakat muda yang sedang memasang impian masuk ke dalam industri ini.

 

Komen anda