Tunggangan Vinales tak cukup padu

151
Pelumba Yamaha, Maverick Vinales sudah mengenal pasti antara punca dia gagal berada di podium pada saingan MotoGP di Qatar minggu lalu.
Menurut Vinales, dia perlu segera menyesuaikan diri dengan gaya tunggangannya setiap kali bersaing dengan barisan pencabarnya daripada Honda dan Ducati.
“Apabila saya berseorangan, saya mampu menunggang dengan pantas (tetapi) apabila saya bersaing dengan kelompok pelumba lain, ia akan jadi jauh berbeza.
“Saya perlu berlumba dengan situasi yang cukup berbeza. Saya tidak boleh memecut laju seperti mana ketika saya berada berseorangan.
“Apabila berlumba di belakang pelumba lain, saya perlu mengikut rentak tunggangan mereka sehingga menyebabkan saya memberi tekanan yang lebih kepada tayar motosikal sendiri.
“Sepatutnya saya tidak mengikut cara pelumba lain mengendalikan motosikal mereka. Saya harus mempunyai teknik tersendiri,” kata Vinales.
Pada saingan di Qatar, Vinales berjaya menyambar petak depan selepas mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan.
Namun, dia terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas bermula agak perlahan.
Vinales ketinggalan 2.320 saat di belakang pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang menjuarai GP Qatar manakala Marc Marquez (Honda) dan Cal Crutchlow (Honda) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Bagi memperbaiki gaya tunggangannya untuk tampil lebih kompetitif, Vinales bercadang menjalani ujian simulasi ketika berlatih di Argentina, hujung bulan ini.
“Saya sedar saya cukup pantas apabila berseorangan tetapi apa yang perlu diperbaiki sekarang adalah ketika saya bersaing dengan kelompok pelumba lain,” jelasnya.

Komen anda