Tunjuk isyarat lucah, Nuri mohon maaf kepada penyokong Perak

395

PEMAIN Selangor, Nurridzuan Abu Hassan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyokong Perak berikutan tindakannya menunjukkan isyarat lucah pada aksi Liga Super kedua-dua pasukan, Jumaat lalu.

Nurridzuan atau mesra dikenali Nuri tampil memohon maaf ketika sesi latihan The Red Giants di Padang Latihan SUK, Shah Alam semalam.

Katanya, tindakan itu memang tidak wajar dilakukan memandangkan beliau pernah menyarung jersi Perak suatu ketika dahulu.

Namun beliau menjelaskan tindakan itu berpunca daripada ejekan dilakukan penyokong Perak ketika beliau bergerak meninggalkan padang.

“Saya memohon maaf kepada penyokong Perak kerana seperti yang mereka katakan, saya tidak menghormati pasukan yang pernah saya wakili sebelum ini.

“Namun, bagi saya, jika kita mahu orang lain menghormati kita, kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu.

“Jika mereka menghargai saya kerana pernah mewakili Perak, mereka tidak akan mengejek saya seperti itu,” katanya.

Insiden tersebut berlaku selepas Nurri menerima layangan kad kuning kedua dan diarah keluar padang kerana menolak Wander Luiz.

Ketika bergerak meninggalkan padang, Nurri bagaimanapun secara tiba-tiba menunjukkan isyarat lucah ke arah penyokong Perak.

Bagaimanapun, bekas tonggak B-23 itu mahu melupakan semua yang telah berlaku dan berharap permohonan maafnya diterima semua peminat bola sepak.

Komen anda