‘Ubi muda’ Kelantan yakin Yusri ada azimat tundukkan Rusa

258

 

PERTAHANAN Kelantan Shahrul Nizam Ros Hasni yakin Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah merancang taktikal khusus untuk menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad lV Sabtu ini.

 

Pemain muda itu berkata setiap jurulatih sudah tentu mempunyai taktikal yang berbeza ketika bertemu lawan bagi membantu pasukan yang dibimbing mencuri mata pada setiap perlawanan.

 

“Sudah tentu sebagai pemain kami perlu sedia  untuk melaksanakan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih terutamanya Yusri Che Lah yang baharu sahaja kembali ketika kedudukan pasukan berada di tangga tercorot (ketika ini).

 

Kami yakin beliau mampu merangka strategi terbaik bagi menewaskan Negeri Sembilan  pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Akhbar sebelum ini melaporkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendapatkan kembali khidmat Yusri sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW) bagi menggantikan Marko Kraljević yang meletak jawatan.

 

Musim lalu Yusri dipertanggungjawab membimbang Kelantan sebelum berhijrah ke pasukan Kuala Lumpur awal musim ini.

 

Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu susulan desakan daripada penyokong.

 

Dalam pada itu, Shahrul Nizam berkata beliau dan rakan sepasukan perlu bekerja keras untuk memperoleh mata pada perlawanan tersebut.

 

“Tidak cukup hanya taktikal jurulatih, sebaliknya kami perlu bekerja lebih keras berbanding perlawanan sebelum ini dan kami perlu menggunakan peluang yang ada serta tidak banyak melakukan kesilapan sehingga menyebabkan kami tewas.

 

“Hanya kemenangan sahaja yang dapat mengembalikan keyakinan penyokong terhadap kemampuan kami untuk terus memberi saingan dalam Liga Premier,” katanya.

 

Untuk rekod, di bawah bimbingan Kraljević, Kelantan hanya memperolehi satu kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan daripada lapan perlawanan sebelum ini.

Komen anda