Ujian Tokyo 2020: Malaysian Tigers gagal menyerlah, akhir saingan keempat

86
Foto: FB MHC

MALAYSIAN Tigers gagal menyerlah pada saingan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas 1-6 kepada Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Oi, Tokyo, hari ini.

Menurut laman web rasmi Persekutuan Hoki Malaysia (MHC), skuad kendalian Roelant Oltmans itu beraksi dengan baik pada separuh masa pertama apabila penyerang, Muhammad Shahril Saabah membuka tirai jaringan melalui gol padang beberapa saat sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Bagaimanapun, Jepun yang tercabar dengan aksi Malaysia bangkit pada separuh masa kedua bermula dengan Hirotaka Zendana menyempurnakan gol pukulan penalti selang dua minit perlawanan bersambung sebelum Yoshiki Kirishita menggandakan jaringan pada minit ke-39 melalui pukulan sudut penalti.

Negara Matahari Terbit terus cemerlang apabila Kenta Tanaka meledak gol ketiga hasil gerakan padang pada minit ke-43 diikuti berselang seminit kemudian, Jepun yang sekali lagi melebarkan jurang jaringan menerusi Kota Watanabe.

Sekali lagi, Yoshiki mencatat nama selaku penjaring hasil daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Empat minit sebelum perlawanan sebenar tamat, Jepun menterjemahkan kelebihan pukulan sudut kepada jaringan dan gol Hirotaka menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1 buat negara matahari terbit itu.

Sementara itu, Oltmans berkata, pemain berjaya mempersembahkan satu perlawanan yang terbaik sepanjang kejohanan pada separuh masa pertama namun sebaliknya berlaku selepas mereka dibolosi dua gol.

“Hari ini kami bermain dengan dua watak yang cukup berbeza di mana aksi separuh masa pertama adalah persembahan yang terbaik kami sepanjang kejohanan.

“Suku ketiga juga pemain bermain dengan baik tetapi selepas kami melepaskan dua gol, persembahan pasukan berubah menjadi sebaliknya serta berlakunya beberapa kesilapan individu,” katanya.

Kejohanan ujian tersebut diadakan bagi memastikan lokasi serta prosedur operasi berada di landasan terbaik sebelum bermulanya Sukan Olimplik Tokyo 2020 dan hoki antara 56 perlawanan ujian yang akan berlangsung di sekitar Tokyo.

Skuad negara dijangka tiba di tanah air pada Jumaat ini pada 7 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan berehat sebelum pasukan kembali menjalani latihan pada 3 September depan.

Komen anda