UniKL harap keajaiban 24 jam

313

 

PENGENDALI Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj mengakui dia masih berharap berlaku keajaiban dalam tempoh 24 jam menjelang pertembungan final Piala TNB menentang Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Tun Razak petang esok.

Ini selepas pihaknya masih belum mendapat jawapan balas daripada Persekutuan Hoki Eropah (EHF) berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran beraksi buat empat pemain importnya – Robbert Kemperman, Valentin Verga, Martijn Havenga (Belanda) dan penjaga gol David Harte (Ireland).

“Kami sudah mengemukakan rayuan terhadap EHF untuk membenarkan kami menyenaraikan empat tonggak import dan setakat ini kami belum menerima sebarang jawapan balas. Jadi saya mahu terus kekal positif dengan harapan mendapat berita gembira dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam sidang media pra final Piala TNB di sini, hari ini.

“Saya sentiasa menjadikan pilihan itu terus terbuka kerana kami masih menunggu keputusan daripada EHF. Bagaimanapun, sekiranya rayuan itu ditolak kami sentiasa mengambil cabaran tanpa keempat-empat pemain tersebut,” tambahnya.

Juara bertahan Piala TNB itu mara ke final menerusi kemenangan agregat 9-1 ke atas Maybank semalam hasil kejayaan menundukkan lawannya itu 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama dan diikuti 5-0 dalam aksi kedua.

Ia bermakna kedua-dua pasukan bakal bertemu buat kali ketiga pada musim ini. Dalam aksi Piala Sumbangsih pada 11 Januari lalu, UniKL bangkit ketinggalan dua gol untuk mengikat THT 2-2, namun tumbang 3-2 dalam penentuan penalti.

Berbeza dengan pertemuan kedua yang menyaksikan UniKL memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri – Stadium Tengku Abdullah – untuk menjinakkan juara lima kali liga itu 3-1.

Secara teknikalnya Kemperman, Verga, Havenga dan Harte sudah beraksi dalam aksi terakhir mereka pada kempen liga musim ini ketika membantu UniKL mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir kedua semalam.

Keempat-empat pemain bertaraf dunia itu dijadualkan pulang ke Eropah pada Ahad ini kerana terikat dengan peraturan EHF yang tidak membenarkan pemain yang didaftar dalam kejohanan kelab Eropah untuk beraksi dalam mana-mana liga selepas 28 Februari.

Harte, Kemperman dan Havenga beraksi buat SV Kampong antara kelab utama dunia manakala Verga menyarung jersi Kelab Hoki Amsterdam juga dalam saingan Liga Belanda.

“Ia sentiasa lebih mudah memenangi gelaran berbanding mempertahankannya. Tetapi dalam kes ini saya fikir kebanyakan pemain ini beraksi dalam musim lalu dan kami mempunyai barisan pemain yang berpengalaman. Ini adalah masanya untuk pemain lain keluar daripada bayangan dan mula mengambil tanggungjawab lebih besar,” tambah Arul.

Tambahnya, dari aspek persembahan, UniKL beraksi dengan begitu baik sepanjang musim ini.

Penyerang veteran dari Australia, Kieran Govers dan Timothy Deavin dijangka akan mengetuai jentera serangan UniKL ‘berwajah baharu’ bersama ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Malah, sentuhan pakar flik Razie Abd Rahim pastinya sekali lagi ditagih bersama pengalaman dimiliki Sukri Mutalib, Baljit singh Charun dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.

Govers yang berusia 31 tahun dan sudah mencetak dua gol dalam kempen ini, berkata walaupun pasukannya akan meratapi ketiadaan keempat-empat rakan sepasukan mereka itu, namun dia percaya peluang tetap terbuka luas buat juara liga 2019 itu menumbangkan THT.

“Jelas sekali ketiadaan empat pemain ini adalah satu kehilangan besar buat kami. Mereka banyak mengajar pemain tempatan untuk beraksi dengan struktur permainan yang betul dan membantu Arul dari segi kejurulatihan dan ia pastinya sukar buat kami tetapi kami sudah serasi bersama sebagai sebuah pasukan sejak dua tahun lalu.”

Pun begitu, Govers yang telah menghimpun tiga koleksi kejuaraan Trofi Juara-Juara, dua gelaran Piala Dunia dan pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 ketika mewakili Australia percaya keempat-empat pemain masih mempunyai peranan untuk dimainkan walaupun dari tepi padang.

“Kami akan kekal dengan perancangan asal, dan bermain untuk satu sama lain. Empat pemain tersebut mungkin tidak berada di atas padang namun masih boleh membantu dari tepi. Kami akan berdepan masalah kekurangan pemain simpanan dan terpaksa beraksi lebih lama,” katanya.

Sementara itu, pengendali THT, I Vikneswaran berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan menganggap kadar penyudah pukulan sudut penalti yang akan menentukan siapa pemenang.

“Secara peribadinya kami lebih fokus mengenai aksi final tanpa memikirkan siapa yang akan bermain untuk UniKL atau tidak kerana kami menghormati mereka. Kami sudah menetapkan sasaran dan strategi untuk perlawanan esok.” ujarnya.

 

 

 

Komen anda