United tarik diri kejar Dybala

118

MANCHESTER United menarik diri untuk mendapatkan bintang Juventus, Paulo Dybala selepas penyerang muda Argentina itu menetapkan syarat gaji tinggi jika mahukan khidmatnya.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, rundingan United untuk meminta Dybala mengurangkan nilai gaji tersebut tidak berjaya, sekali gus menyebabkan The Red Devils tidak lagi berhasrat melamarnya.

“Dybala sebenarnya kecewa dengan tindakan Juventus yang mahu menjualnya kerana pengurusan tidak berbincang dengannya terlebih dulu. Dia juga masih mahu beraksi bersama Juventus.

“Sebab itu, Dybala menetapkan gaji tinggi sekiranya mahu mendapatkan khidmatnya dan ia menjadi punca United menarik diri,” kata laporan tersebut.

Dybala sebelum ini dikatakan meminta gaji sekitar £350,000 (RM1.75 juta) seminggu – antara yang tertinggi dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan penyerang United, Alexis Sanchez menerima £400,000 (RM2.02 juta seminggu) diikuti pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil (RM1.75 juta seminggu).

Tidak hanya soal gaji, Dybala juga meminta komisen tinggi dibayar kepada ejennya, sekali gus United merasakan ia terlalu berlebihan buat pemain itu.

“Kegagalan rundingan ini menyaksikan perpindahan Romelu Lukaku ke Juventus juga tidak berjaya dan menyebabkan United kini beralih mengejar Mario Mandzukic,” kata laporan itu lagi.

Komen anda