Verstappen mampu jelma ancaman besar

240

PEMANDU muda Red Bull, Max Verstappen dijangka mampu menghadirkan ancaman utama buat juara dunia Formula 1 (F1) lima kali, Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel yang juga juara dunia empat kali.

Musim lalu, Hamilton sekali lagi mengesahkan kejuaraan dunia miliknya manakala Vettel di tangga kedua dan Verstappen mengakhiri saingan 2018 di tangga keempat.

Sebagai rekod, Hamilton yang memandu jentera Mercedes berjaya memenangi 11 perlumbaan sementara pemandu Ferrari, Vettel dengan lima podium utama musim lalu.

Verstappen pula memenangi dua perlumbaan – Grand Prix (GP) Austria dan Mexico dan terlepas menjuarai GP Brazil yang menyaksikan dia terpaksa mengakhiri saingan di tempat kedua.

“Jika kita semua melihat kepada prestasi Max selepas pertengahan saingan musim lalu, dia meraih mata kedua tertinggi selepas Lewis.

“Saya tidak fikir dia memiliki apa-apa kekurangan daripada mereka (HAmilton dan Vettel). Jika kami mampu menyediakan jentera dan peralatan untuk dia melaksanakan tugasnya, saya fikir, dia mungkin menjadi pemandu yang paling digeruni mereka,” kata prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner.

Verstappen merupakan pemandu termuda dalam arena F1 apabila muncul buat pertama kali bersama pasukan milik Red Bull – Toro Rosso ketika berusia 17 tahun dan menjadi pemandu termuda memenangi perlumbaan pada usia 18 tahun di GP Sepanyol 2016.

“Saya fikir kematangannya sudah meningkat, kami dapat melihatnya pada saingan F1 musim lalu. Dia lebih banyak berlumba menggunakan pengalaman dimilikinya,” tambah Horner.

Pada saingan F1 musim 2019 ini, Verstappen mendapat kepercayaan sebagai pemandu utama Red Bull selepas Daniel Ricciardo dari Australia menyertai Renault.

“Dia (Ricciardo) lebih berpengalaman, dia hanya berada di tempat yang lebih baik untuk mampu berurusan dengan tekanan yang disandarkan kepadanya,” jelas Horner.

Red Bull kini bekerjasama dengan Honda selepas lebih sedekad bersama Renault – pengeluar yang membantu mereka meraih empat gelaran dunia bagi kategori pemandu dan dua gelaran pengeluar pada musim 2010 hingga 2013.

Honda pula mengalami detik sukar bersama McLaren sebelum berpecah dan bergabung dengan pasukan Toro Rosso musim lalu.

Bagaimanapun, Horner berkata, Honda sudah menunjukkan peningkatan ketika musim sejuk di Eropah dan moral mereka ketika ini berada dalam keadaan positif.

“Saya yakin kerjasama dengan Honda ini akan membuahkan hasil yang berbeza berbanding sebelum ini. Apa yang jelas kami sudah membayar tiket kelas utama dan kamu berada di kelas ekonomi,” katanya mengenai prestasi bersama Renault sejak tiga musim lalu.

“Satu kekecewaan dizahirkan daripada perkara itu. Jadi saya fikir bersama Honda, ia adalah satu kerjasama teknikal yang jelas, terdapat banyak tanggungjawab bersama daripada kedua-dua pihak,” jelasnya.

Komen anda