Vettel akui masih terkesan

59

PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel masih kecewa dan menegaskan dia tidak mempunyai cara lain untuk masuk kembali ke litar selepas sedikit terbabas dalam perlumbaan di Grand Prix (GP) Kanada minggu lalu.

Tindakan Vettel itu menyebabkan dia dikenakan penalti lima saat kerana dikatakan kembali masuk ke litar dengan cara yang berbahaya.

Ia sekaligus memberikan kemenangan kepada pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dalam saingan GP Kanada itu walaupun Vettel berpeluang cerah memenanginya.

“Saya kembali ke trek dan berusaha memastikan jentera dalam laluan yang betul. Saya juga melihat dari cermin sisi dan nampak Hamilton berada betul-betul di belakang saya.

“Bagi saya tidak salah untuk masuk ke litar pada waktu itu. Ia tidak salah dan saya tidak faham kenapa dikenakan penalti,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia seharusnya tidak masuk dan membiarkan Hamilton memintasnya terlebih dahulu, Vettel menyifatkan ia perkara betul dilakukannya untuk kembali semula ke litar.

“Bagaimana cara lagi untuk saya masuk ke litar? Kedua-dua tangan saya berada di stereng untuk mengawalnya.

“Mungkin nampak bahaya tetapi jika anda mahu saya meletakkan satu tangan di stereng dan satu lagi menekan tombol radio sambil bercakap, maaf saya tidak mampu.

“Saya tahu Hamilton berada di belakang saya dan saya masuk dengan cara yang betul. Jika saya tidak masuk terus ke litar mungkin saya akan terbabas,” katanya.

Komen anda