Vettel akui salah sendiri

104

PEMANDU sensasi Ferrari, Sebastian Vettel mengakui kegagalannya menaiki podium pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Sakhir, Ahad lalu bukan disebabkan tekanan.

Sebaliknya, bekas juara dunia itu mengakui kesilapan sendiri apabila gagal mengemudi jenteranya dengan baik pada saingan di Litar Antarabangsa Bahrain tersebut.

Situasi itu menyebabkan jentera Vettel berpusing dan terbabas ketika Lewis Hamilton memintasnya sehingga membuka peluang kepada pemandu Mercedes tersebut mengekori rapat di belakang seorang lagi pemandu Ferrari, Charles Leclerc pada baki 11 pusingan.

Tuah ternyata menyebelahi Hamilton apabila jentera yang dipandu Leclerc mengalami masalah enjin, sekali gus membolehkan pemandu kelahiran Britain itu memimpin saingan sehingga tamat perlumbaan.

Pada masa sama, rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas turut mengambil kesempatan ekoran nasib malang yang menimpa Leclerc untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Leclerc pula mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus meraih podium pertama dalam penampilan sulungnya pada saingan F1.

“Saya memohon maaf kerana telah melakukan kesilapan. Saya kehilangan cengkaman pada tayar belakang dan bukannya disebabkan tekanan.

“Ketika saya bersaing dengan Hamilton, misi utama saya adalah kekal di depan. Namun, saya terkejut kerana tayar belakang jentera hilang cengkaman sebelum jentera berpusing. Saya cuba untuk mengelak insiden tersebut tetapi sudah terlambat.

“Bagi saya ia adalah kesilapan saya sendiri dan sekiranya saya tidak terbabas mungkin kami mampu meraih penamat lebih baik. Secara keseluruhan, ia adalah perlumbaan yang sukar.

“Dari sudut pandangan pasukan, ia merupakan peningkatan terbaik sepanjang minggu ini. Banyak kerja rumah yang perlu disiapkan dan kami akan bekerja keras menje­lang perlumbaan seterusnya,” kata Vettel.

Komen anda