Vettel, Ferrari serang F1 – ‘Jika tak gembira cara kami, anda boleh bina litar baharu’

149
Vettel nyata kecewa apabila Ferrari gagal dalam rayuannya ekoran dikenakan penalti pada GP Kanada dua minggu lalu.

Bekas juara dunia Formula 1 (F1), Sebastian Vettel gagal menahan kemarahan selepas rayuan Ferrari untuk menolak penalti lima saat yang dikenakan ke atasnya pada Grand Prix (GP) Kanada ditolak.

Pada perlumbaan di Montreal dua minggu lalu, Vettel terlepas kejuaraan sulungnya musim ini selepas dikenakan penalti kerana dikatakan sengaja masuk ke litar dengan cara berbahaya sehingga kemenangannya itu diberikan kepada pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.

Secara sinis, Vettel berkata, penganjur F1 sudah boleh membakar buku peraturan mereka memandangkan sukan permotoran tersebut masih terpalit dengan kerenah birokrasi.

"Ada terlalu banyak muka surat dalam peraturan F1 jika anda mahu cari perenggan yang sesuai. Apa yang pasti kami tidak bersetuju dengan steward perlumbaan di Kanada.

"Seperti saya katakan ada banyak perenggan dalam buku peraturan itu tetapi apa yang mereka ubah? Saya harap mereka bakar sahaja buku tersebut.

"Kami ingat, kami mampu membawa sesuatu yang baharu (berkaitan kes ini), namun ia tetap tidak memihak kami. Itu sungguh mengecewakan tetapi kami perlu teruskan hidup," tegasnya.

Vettel menegaskan, dia dan pasukannya akan meneruskan saingan F1 mengikut cara mereka dan tetap menyalahkan semua yang terlibat di sebalik kontroversi tersebut.

"Biar kami lakukan apa yang kami mahu. Jika anda tidak gembira dengan cara kami, anda boleh membina litar yang baharu. Ia semudah itu.

"Dalam hal ini semua patut dipersalahkan. Kami terluka kerana perkara-perkara seperti ini kerana apa yang kami lakukan (di Kanada) telah diguna pakai sejak dahulu," katanya lagi.

Ditanya sama ada keputusan itu akan membuatkannya mahu bersara awal, Vettel menjawab: "Bersara? Mungkin dengan cara itu saya tidak terbabit dengan masalah lagi.

"Tidak, tidak… saya hanya bergurau. Sejujurnya saya malas untuk berfikir mengenai perkara itu lagi," katanya.

Pada masa sama, Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto menganggap keputusan itu sebagai hari duka untuk sukan F1.

"Tidak syak lagi, kami tidak gembira dan kecewa. Bukan hanya kami kecewa sebab ketidakadilan ini tetapi juuga kami kecewa untuk peminat dan sukan ini.

"Sudahlah. Kami tidak mahu bercakap lebih lanjut tentang keputusan ini," ujarnya.

Komen anda