Vettel: Saya tidak akan berhenti

73

KHABAR angin mengaitkan persaraan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel bakal berlaku dalam masa terdekat kembali timbul sejak akhir-akhir ini.

Pelumba berusia 31 tahun itu dikatakan bakal mengakhiri kariernya dalam saingan Formula 1 (F1) pada penghujung musim ini.

Namun, khabar angin ini pantas ditepis Vettel dengan mengatakan beliau masih mahu meneruskan karier ini dan tidak akan sesekali meninggalkan F1 selagi belum meraih sesuatu bersama Ferrari.

Menurutnya, beliau seakan-akan masih ‘berhutang’ dengan Ferrari memandangkan masih belum menghadiahkan gelaran juara dunia buat pasukan itu seperti yang diraihnya ketika bersama Red Bull.

“Saya tidak akan berhenti. Formula 1 masih menjadi satu kejohanan yang sangat saya nikmati.

“Saya juga masih ada misi bersama Ferrari. Jadi, saya belum mahu menamatkan semua yang telah saya mulakan,” kata pelumba kelahiran Jerman itu.

Sebelum ini, desas-desus mengaitkan berita persaraan ini timbul apabila seorang wartawan, Joe Saward mendedahkan Vettel bakal meninggalkan F1 akhir musim ini meskipun masih mempunyai kontrak bersama Ferrari sehingga 2020.

Musim ini, Vettel masih belum memenangi sebarang perlumbaan dan hanya menempatkan diri di podium sebanyak tiga kali daripada lima perlumbaan.

Bagaimanapun, menjelang perlumbaan di Kanada minggu ini, Vettel tetap optimis saingan itu bakal menjadi tapak kebangkitan buatnya bersama Ferrari.

“Kami mahu cuba melakukan semuanya dan mengubah keseluruhan musim ini.

“Saya rasa GP Kanada bakal menjadi permulaan buat kami,” ujarnya yang kini berada di kedudukan ketiga pelumba terbaik keseluruhan dengan mengutip 82 mata.

Komen anda