Vettel tabik Bottas

196

PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel mengakui ‘cukup gembira’ melihat Valtteri Bottas meraih gelaran sulung Formula (F1) dalam tempoh lebih setahun pada saingan pembuka tirai 2019 – Grand Prix (GP) Australia di Melbourne, kelmarin.

Bottas mengecap tiga kemenangan GP dalam musim pertamanya bersama pasukan Mercedes pada 2017 sebelum mengalami kemarau kejuaraan sepanjang musim lalu.

Bagaimanapun, pemandu kelahiran Finland itu menampilkan pemanduan bergaya apabila menawan Litar Albert Park, sekali gus memadam kekecewaannya musim lalu selepas kali terakhir menjuarai GP Abu Dhabi pada penghujung musim 2017.

Kejayaan menjuarai GP Australia kelmarin menyaksikan Bottas kini mendahului senarai kejuaraan bagi kategori pemandu buat kali pertama dalam kariernya.

Ditanya jika dia sudah dapat melihat perubahan prestasi Bottas sejak musim lalu, Vettel menjawab: “Saya gembira dengan kejayaannya itu. Dia seorang lelaki yang sopan.

“Sudah tentu dia gagal beraksi dengan baik musim lalu atas banyak sebab tetapi saya cukup gembira apabila dapat melihat dia kembali memenangi perlumbaan.

“Sudah tentu juga perjalanannya masih jauh dan itu juga tidak begitu baik bagi kami semua. Bagaimanapun, dia berhak dengan kejayaan ini dan saya amat gembira dengan apa yang dicapainya hari ini (kelmarin),” kata Vettel.

Sekalipun disebut-sebut sebagai pasukan pilihan pada GP Australia, Ferrari dilihat agak bergelut menyaingi kepantasan jentera Mercedes sepanjang minggu lalu yang menyaksikan Bottas dan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton mengakhiri saingan di kedudukan 1-2.

Lebih malang, Ferrari gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas selepas pemandu Red Bull, Max Verstappen berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Sebaliknya, Vettel dan rakan sepasukannya yang juga pemandu muda Ferrari, Charles Leclerc masing-masing terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat dan kelima.

“Saya harus akui kami masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang ada untuk memberikan cabaran kepada Mercedes dalam perlumbaan sebenar.

“Selain itu, strategi pasukan amat penting dalam situasi sebegini kerana mana-mana pemandu atau pasukan yang bijak mengambil peluang yang ada, mereka mampu memenangi perlumbaan,” jelasnya.

Komen anda