Virus influenza: Aksi JDT, PJ City FC di Larkin ditangguhkan

145
JDT kelmarin mengumumkan 17 pemainnya dijangkiti virus Influenza dan telah melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam untuk mengelakkan virus itu merebak. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS

AKSI ke-20 Liga Super membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC yang dijadual berlangsung malam esok di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu akibat beberapa faktor.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata, penangguhan perlawanan itu dibuat atas faktor masalah keselamatan, kesihatan dan kesukanan selepas mendapat laporan penuh mengenai sebahagian besar pemain dan pegawai kelab itu dijangkiti virus influenza.

Selepas penelitian, MFL bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang juga penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan jika aksi itu diteruskan.

Ini kerana virus influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat sebaliknya turut bimbang terdedah kepada jangkitan itu adalah orang ramai jika perlawanan itu diteruskan.

Sehubungan dengan itu, MFL membuat keputusan untuk menunda perlawanan Liga Super JDT dengan PJ City FC ke tarikh baharu iaitu pada 16 Julai ini. Keputusan ini diterima dan disokong oleh kedua-dua pasukan.

Pengurusan PJ City FC menerusi Setiausaha Agungnya, S Ganesh dalam kenyataan sama menganggap keputusan MFL adalah tepat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan virus itu terus merebak.

“Kami sokong keputusan penangguhan perlawanan ini dengan terbuka kerana bagi kami aspek kesihatan memang patut diutamakan ketika ini.

“Jika dilihat laporan kes kesihatan yang melanda beberapa pemain JDT, memang kita tidak boleh ambil mudah dan kami pun ingin ambil langkah berjaga-jaga juga sebab risau pemain-pemain lain boleh terkena jangkitan atau sebagainya.

“Apa-apa pun saya harap keadaan akan kembali pulih dan ketika ini lebih elok kita mengutamakan tahap kesihatan barisan pemain baik pihak lawan dan pasukan sendiri,” katanya.

Atas semangat kesukanan juga, Kuala Lumpur turut bersetuju menunda tarikh perlawanan dengan JDT pada 14 Julai ini kepada 13 Julai bagi membolehkan lawan itu mendapat tempoh rehat dua hari sebelum perlawanan menentang PJ City FC pada 16 Julai ini.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali insiden seumpama ini berlaku apabila pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jun 2014 telah menunda perlawanan Liga Premier, Perlis dan UiTM FC selepas 14 pemain Perlis diserang cirit birit.

Komen anda