West Ham menyesal tak sudah

23
Adrian kini menjadi hero baharu Liverpool.

PENGURUS West Ham United, Manuel Pellegrini mengakui kesal kerana melepaskan penjaga gol, Adrian ke Liverpool musim ini.

Pellegrini mendedahkan beliau tidak pernah merancang melepaskan Adrian, namun kehadiran Lukasz Fabianski membuatkan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu memutuskan untuk meninggalkan The Hammers.

"Adrian adalah pemain kami dalam enam musim terdahulu. Dia adalah penjaga gol yang baik dan apa yang boleh saya katakan, kami tidak pernah merancang untuk membiarkannya pergi.

"Dia bukan hanya penjaga gol yang baik tetapi juga ahli skuad yang baik untuk rakan-rakan sepasukannya. Malangnya, kami tidak dapat membuat perjanjian untuk dia tinggal lebih lama di West Ham," kata Pellegrini.

Kelibat Adrian mula menarik perhatian apabila dia muncul wira Liverpool di sebalik kejayaan The Reds menjuarai Piala Super Eropah buat kali keempat selepas menewaskan Chelsea 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Vodafone Park, Istanbul awal pagi kelmarin.

Adrian yang menggantikan tempat penjaga gol utama Liverpool, Alisson Becker tampil cemerlang sepanjang perlawanan itu termasuk menafikan sepakan penalti terakhir pemain Chelsea, Tammy Abraham.

Kejayaan itu menjadi gelaran pertama dalam kariernya dan lebih istimewa apabila Adrian baru sahaja menyertai The Reds awal bulan ini.

Komen anda