‘Williams harus realistik’

120
Pasukan Williams harus mengambil pendekatan lebih realistik dengan sasaran yang ditetapkan mereka pada saingan Formula 1 (F1) musim ini.
Pemandu baharu Williams, Robert Kubica berkata, pasukannya tidak boleh meletakkan sasaran yang terlalu tinggi jika dinilai prestasi semasa mereka bagi menghadapi musim baharu kali ini.
“Kami harus fokus dengan persiapan pasukan sendiri. Sasaran kami haruslah realistik dan kami harus bermula baik pada awal saingan musim ini.
“Buat masa ini, ia tidak begitu baik tetapi kami harus memperbaiki setiap kekurangan yang ada bagi memastikan kami dapat bermula baik musim ini,” kata Kubica.
Terdahulu, Williams hampir terlepas keseluruhan sesi ujian pramusim di Barcelona minggu lalu ekoran masalah menyiapkan jentera baharu mereka – FW24.
Kubica yang akan bergandingan dengan pemandu muda meningkat naik, George Russell hanya sempat menguji jentera Williams buat kali pertama pada sesi ujian terakhir sebelah pagi Khamis lalu di Litar Catalunya.
Situasi itu jelas sekali memberi impak terhadap persiapan Williams musim ini yang berazam memperbaiki kedudukan mereka dalam kategori pengeluar berbanding musim lalu.
Begitupun, Kubica berkata, Williams tidak seharusnya terganggu dengan kekuatan barisan pencabar mereka menjelang saingan pembuka tirai – Grand Prix (GP) Australia bulan depan.
“Saya fikir pasukan memerlukan hari yang positif. Apa sahaja yang berlaku, kami harus memastikan kami dapat melakukan yang terbaik dan kami fokus dengan prestasi pasukan.
“Kami tidak harus terlalu memikirkan pasukan lain. Kami hanya perlu memastikan kami membuat yang terbaik dan kita akan lihat nanti,” jelasnya lagi.
Pada GP Abu Dhabi November tahun lalu, Kubica menjadi tumpuan media apabila namanya sah disenaraikan sebagai salah seorang pemandu pasukan Williams bagi mengharungi cabaran F1 2019.
Sebagi rekod, Kubica mencipta sensasi apabila muncul sebagai pemandu pertama Poland menggegar F1. Dia dilamar menyertai pasukan BMW Sauber pada 2006 sebelum menyertai Renault empat tahun kemudian.
Malang menimpa Kubica apabila dia mengalami kemalangan pada 6 Februari 2011 ketika bersaing dalam satu perlumbaan rali di Andora, sekali gus menyebabkan dia diketepikan dalam pasukan Renault.
Ekoran itu, Kubica terpaksa berehat panjang sebelum dia mula menyertai Citroen dan Ford Fiesta dalam perlumbaan rali dunia pada 2013 hingga 2015.

Komen anda