Williams sandar harapan kepada ‘orang lama’

158

Ketua Teknikal Williams, Paddy Lowe menyifatkan kehadiran pemandu berpengalaman, Robert Kubica telah menaikkan kembali semangat pasukan Formula 1 (F1) itu.

Selepas sembilan tahun, pemandu kelahiran Poland itu kembali ke litar F1 musim ini apabila disenaraikan dalam pasukan Williams selepas tampil cemerlang pada sesi ujian sebelum ini.

Menjelang saingan pembukaan Grand Prix Australia di Melbourne minggu depan, Lowe memberitahu, Kubica kini sudah bersedia menggalas tanggungjawab pasukan Williams.

“Semua orang sayangkan Robert, di pejabat mahupun di garaj. Saya masih ingat lagi apabila dia mula menjejakkan kaki di sini, ada mekanik yang berkata ‘itulah pemandu yang sebaiknya!’.

“Ia adalah sesuatu yang hebat apabila kami dapat bekerjasama dengannya dan dia merupakan salah seorang ahli pasukan yang hebat. Dia mungkin dianggap ‘orang lama’ tetapi elemen itu yang sebenarnya kami perlukan.

“Saya rasakan ini merupakan satu kombinasi yang cukup baik apabila dia akan bergandingan dengan seorang pemandu muda, George Russell,” jelas Lowe.

Lowe berkata, kehadiran Kubica mampu memberi impak buat pasukan Williams yang dilihat gagal menyerlah sejak beberapa musim lalu.

“Dia merupakan seorang individu yang mempunyai karakter dan bersemangat tinggi. Saya rasa kita semua tahu tentang kehebatan yang dimiliki Robert.

“Kami semua sudah tidak sabar untuk menyaksikan apa yang akan berlaku pada saingan pembuka tirai F1 musim ini. Mungkin ada yang meragui kemampuannya tetapi saya cukup yakin Robert mampu menggalas tugasnya dengan baik,” katanya.

Komen anda