Woods akhiri kemarau 11 tahun

111

BINTANG golf Amerika Syarikat, Tiger Woods menamatkan kemarau kejuaraan major selama 11 tahun apabila menjuarai Masters 2019 di Augusta National, awal pagi semalam.

Kejayaan penuh bersejarah itu membolehkan Woods kembali menyarung jaket hijau selaku juara Masters yang menjadi rebutan ramai pemain handalan dunia.

Ia gelaran Masters kelima buat Woods yang kini telah mencecah usia 43 tahun selepas kali terakhir dia muncul juara pada edisi 2008.

Woods menyambar kejuaraan major ke-15 dalam kariernya itu selepas menewaskan tiga rakan senegaranya, Dustin Johnson, Xander Schauffele dan Brooks Koepka dengan kelebihan satu pukulan.

“Saya mahu berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat saya kerana sokongan mereka. Dengan adanya keluarga di samping saya, ia merupakan sesuatu yang saya tidak akan lupakan.

“Bukan hanya kerana dapat kembali beraksi tetapi juga dapat kembali meraih kejuaraan. Ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan dan saya bersyukur terhadap kejayaan ini.

“Jaket ini sudah pasti amat selesa untuk dipakai,” kata Woods di laman sosial Twitter peribadinya selepas berakhirnya kejohanan berprestij itu.

Memenangi gelaran Masters kelimanya dan yang pertama sejak 2005, menjadikan kejayaan epik Woods itu antara kemuncak kariernya yang sebelum ini menjunam ekoran skandal seks pada 2009 serta rentetan masalah kecederaan.

“Saya amat ragu-ragu selepas apa yang terjadi sepanjang beberapa tahun lalu. Saya tidak dapat berjalan, tidak dapat duduk dan tidak dapat melakukan apa-apa.

“Nasib baik saya menjalani pembedahan belakang yang memberikan saya peluang untuk hidup secara normal. Namun, ia berlaku sekelip mata dan saya sedar yang saya sebenarnya masih boleh menghayunkan kayu golf. Badan saya tidak seperti dulu tetapi saya masih memiliki dua tangan yang hebat,” jelasnya.

Dengan sokongan padu penonton, Woods berjalan keluar dari lubang 18 dengan penuh emosi dan memeluk ibunya, Kultida, anaknya, Sam dan Charlie seperti mana dia memeluk mendiang bapanya, Earl ketika memenangi major pertamanya pada Masters 1997.

Komen anda