Yee Fatt kecewa Kuala Lumpur terlepas bawa pulang mata dari Shah Alam

77

PENGENDALI Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt mengakui berbangga dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya, namun kecewa apabila gagal meraih sekurang-kurangnya satu mata setelah tewas tipis 1-2 kepada Selangor dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.

Menurutnya, ketinggalan 0-1 pada babak pertama perlawanan tidak melemahkan semangat pemainnya apabila mereka menukar taktikal permainan pada babak kedua dan Guilherme de Paula berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-59.

“Namun apa yang lebih mengecewakan apabila kita terpaksa melepaskan sekurang-kurangnya satu mata selepas Selangor dihadiahkan sepakan penalti di penghujung perlawanan.

“Dari satu sudut, saya memang berpuas hati dengan pemain terutamanya bagaimana mereka cuba mencari gol penyamaan. Dalam satu ketika nampak satu mata berharga sudah dalam genggaman, tetapi terpaksa berputih mata selepas Selangor dapat penalti.

“Bagaimanapun, kami perlu terus bersaing dalam enam baki perlawanan terakhir ini untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.

The Hawks ketika ini kekal ditangga ke-10 dengan mengutip 14 mata selepas mengharungi 16 perlawanan dengan meraih empat kemenangan, dua seri dan sepuluh kekalahan.

Komen anda