Yusri akui rekod UiTM FC lebih baik

126
Yusri akui rekod UiTM FC lebih baik
RIFQIE RUZAIEN
PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah menuntut barisan pemain lebih waspada dengan kemampuan peneraju takhta, UiTM FC pada pertemuan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Yusri berkata, berdasarkan rekod pasukan berkenaan dilihat cemerlang setiap kali beraksi di gelanggang lawan dan situasi tersebut memberi kegusaran buat pemainnya untuk mengekang skuad bimbingan Ismail Zakaria.
“Sudah tentu UiTM datang dengan barisan pemain yang cukup termasuk pemain import dan mahu mengutip mata penuh di sini (Kota Bharu) apatah lagi rekod mereka cukup baik apabila bermain di luar tempat sendiri.
“Situasi ini sebenarnya membimbangkan saya dan saya harap semua pemain lebih berhati-hati dan waspada dengan UiTM pada pertemuan malam esok,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Di sebalik kerisauan tersebut, jurulatih kelahiran Perlis itu bagaimanapun tetap menaruh harapan agar anak buahnya memperagakan aksi terbaik bagi memastikan The Red Warriors tidak kecewa di stadium keramat mereka.
Menurutnya, pasukannya perlu mencatatkan keputusan positif ketika bertemu The Lion Troops bagi mengelakkan mereka daripada terus kekal di dasar liga ketika saingan liga hanya berbaki enam perlawanan lagi.
“Walaupun pemain tahu Kelantan tiada pilihan tambahan hanya satu import bersama pasukan ini namun saya harap mereka terus berusaha untuk membawa pasukan keluar daripada zon penyingkiran.
“Kita tidak akan memberi laluan mudah kepada UiTM dan paling penting adalah mendapat sekurang-kurangnya satu mata dan jika memperoleh tiga mata ia satu bonus buat pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas pengemudi Kuala Lumpur itu memberitahu, status penyerang import, Seydi L’Imam sama ada diturunkan atau tidak akan ditentukan pada hari perlawanan.
“Sekiranya boleh disenaraikan bererti dia akan beraksi buat pertama kali bersama Kelantan dalam liga musim ini. Dua pemain utama terpaksa disisihkan akibat penggantungan dan kecederaan dan saya harap pengganti mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik malam esok,” katanya.

Komen anda