Zii Jia belum puas hati walaupun kini bergelar pemain nombor satu negara

454
Pemain muda, Lee Zii Jia belum mahu cepat berpuas hati sekalipun dia kini bergelar pemain badminton nombor satu dunia negara.

Bagi Zii Jia, dia tidak akan puas menjadi pemain nombor satu Malaysia selagi masih belum menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan yang akan berlangsung di Ipoh, Perak bermula 18 Februari ini.

Zii Jia terlepas peluang meraih gelaran juara kebangsaan apabila terpaksa akur dengan kekalahan kepada seorang lagi pemain muda negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pada aksi final.

“Saya belum puas hati dengan gelaran pemain nombor satu negara, perjalanan saya masih jauh. Saya berharap meningkatkan lagi ranking saya dalam kelompok lima pemain terbaik dunia,” ujarnya.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain berusia 21 tahun itu melonjak tujuh anak tangga untuk menghuni ranking ke-28 dunia.

Peningkatan ranking itu susulan prestasi cemerlang ditampilkan Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan 2018 apabila dia berjaya mara sehingga peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut awal tahun ini – Masters Thailand, Masters Malaysia dan Masters Indonesia.

Status terbaharu Zii Jia itu sekali gus menyaksikan jaguh negara,Datuk Lee Chong Wei kini bergelar pemain nombor tiga Malaysia apabila pemenang tiga pingat gangsa Sukan Olimpikk itu menghuni ranking ke-31 dunia.

Pemain profesional, Liew Daren pula berada di tangga kedua dalam senarai pemain perseorangan lelaki negara apabila menghuni ranking ke-29 dunia.

Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ranking Chong Wei jatuh selepas dia terpaksa berehat panjang ekoran masalah kesihatan akibat menghidapi kanser hidung. Dia kini dalam proses pemulihan dan sudah kembali menjalani latihan di gelanggang.

Komen anda