‘Zii Jia kunci utama kejayaan skuad negara tewaskan India’ – Choong Han

223
Zee Jia dianggap watak penting membantu kejayaan skuad badminton negara tewaskan India.

PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Han bangga dengan aksi cemerlang yang ditampilkan skuad badminton negara selepas bangkit menundukkan India dalam aksi kumpulan D, Piala Sudirman 2019.

Choong Han bagaimanapun tanpa berselindung memberikan pujian tambahan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang disifatkan sebagai watak utama membantu kejayaan negara.

"Saya rasa sudah tentu pujian perlu diberikan kepada Lee Zii Jia yang telah memberikan mata penting untuk pasukan.

"Walaupun berdepan tekanan dan bebanan besar dibahunya, dia berupaya menampilkan persembahan mantap dan beraksi cemerlang ketika menentang Sameer (Verma).

"Kemenangan Zii Jia nyata telah memberikan suntikan semangat buat pemain lain dan telah membuatkan kesemua mereka beraksi sepenuh hati untuk membantu kemenangan pasukan," katanya.

Mengulas kejutan yang dilakukan dalam senarai pemain dalam aksi menentang India kelmarin, Choong Han berkata keputusan itu bukanlah disifatkan sebagai strategi 'berani mati', sebaliknya ia dibuat selepas melakukan penelitian mendalam bersama semua staf kejurulatihan.

"Selepas para jurulatih berbincang, kami sebulat suara bersetuju untuk melakukan sedikit perubahan dalam senarai pemain. Kami membuat keputusan itu selepas meneliti kekuatan setiap pemain kita dan juga kebolehan pemain lawan," ujarnya lagi.

Komen anda