Zulfiqar intai peluang beraksi di Kejohanan Olahraga Asia 2019

370
Zulfiqar (kiri). FOTO: Bernama

PELARI pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail mengintai peluang untuk berada dalam skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar, bulan depan.

Pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Ismail berusia 20 tahun itu mengakui persaingan merebut tempat ke kejohanan berkenaan amat sengit memandangkan kesemua pelari pecut negara terutamanya Jonathan Nyepa, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Aqil Yasmin mempamerkan aksi terbaik sejak kebelakangan ini.

“Kalau nama saya terpilih ke Kejohanan Asia, insya-Allah saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada edisi pertama Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Sebelum itu beliau meraih pingat perak dalam acara 100m lelaki dengan catatan 10.41 saat, dengan juara remaja dunia bawah 20 tahun, Lalu Muhammad Zohri meraih emas (10.20 saat), manakala pelari Taiwan, Wei-Tsu Wang mengutip gangsa (10.44 saat).

“Catatan 10.41 saat ini boleh dikira agak baik untuk saya pada tahun ini kerana ia hampir dengan catatan terbaik peribadi musim iaitu 10.40 yang saya catat pada tahun lepas,”jelas Muhammad Zulfiqar yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2018.

Sementara itu, pelari pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad berpuashati dengan kutipan pingat gangsa dalam acara 100m menerusi catatan 11.91, namun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk catatan masa lebih baik.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Kyrgyzstan, Anna Bulanova (11.75 saat), manakala perak diraih atlet Taiwan, Chia Chen Hu (11.89 saat). – Bernama

Komen anda